Monday, August 23, 2010

Medan Konklusi

Oleh : Ahmad Fahmi Irsyad bin Aziz Azmi (204527)

Intihannya, jika kita kaji semula dengan lebih mendalam, kita akan menyedari bahawa setiap elemen budaya yang tersirat dalam sesuatu kaum tertentu itu mempunyai kelebihan dan keunikannya yang tersendiri. Masing-masing berpegang teguh pada relativiti budaya masing-masing tanpa memikirkan permasalahan etnik yang sentiasa berlaku.

Secara keseluruhannya, adat pengkebumian bagi masyarakat Melayu menitikberatkan hukum-hukum syarak berpandukan sumber al-Quran dan as-Sunnah seratus peratus dan diadun sedikit dengan nilai-nilai budaya masyarakat Melayu yang diwarisi secara turun temurun. Satu perkara yang boleh dikira asing bagi kita dalam kalangan orang Melayu sendiri adalah pemberian kain pelikat beserta duit sebagai satu simbolik upah mendoakan si mati selepas mendirikan solat jenazah. Proses seterusnya seperti proses pemandian, kafan dan iringan ke kubur juga berlandaskan syariat Islam. Kemudian bacaan talqin dan upacara menyiram air mawar dan memacakkan kayu ke atas tanah kubur sebagai tanda pengenalan kepada saudara mara dan sahabat handai yang ingin melawat sebelum diletakkan batu nisan. Upacara bacaan Yaasin dan Tahlil pula akan dilaksanakan setiap tujuh, empat puluh dan seratus hari selepas kematian.

Solat Jenazah 
                                       


Proses Mengkafankan Jenazah

 
Bagi masyarakat Cina pula, mereka mementingkan unsur-unsur material yang dibawa dari dunia nyata untuk mereka menyambung kehidupan di alam kubur. Mayat si mati akan dipakaikan dengan pakaian dan barangan perhiasan yang cantik dan berwarna-warni, dibekalkan dengan wang kertas beserta makanan. Ratapan dan tangisan adalah perkara biasa, namun apa yang menjadikan adat masyarakat Cina ini unik, mereka akan mengupah orang ramai untuk menangisi pemergian si mati andai kata si mati tidak mempunyai hubungan kekeluargaan yang ramai. Mereka turut berpegang teguh kepada "Feng Shui" yang mana menuntut mereka mengkebumikan mayat di kawasan tanah tinggi demi generasi yang lebih baik pada masa akan datang. Sepanjang proses itu, mereka wajib memakai pakaian serba hitam.
Keranda Orang Cina

Majlis Pengkebumian

                                               
Masyarakat India pula mempercayai konsep kelahiran semula. Konsep tersebut meuntut mereka untuk turut menyelitkan unsur-unsur material ke dalam adat pengkebumian mereka sama seperti masyarakat Cina. Terdapat juga sebilangan upacara-upacara yang asing bagi telinga kita seperti kammaatchi amman vilakku dan vaikarrisi, namun, itulah yang menjadikan adat pengkebumian mereka unik dan lain dari yang lain. Selepas kematian, adat tipikal akan dilaksanakan seperti proses pembersihan rumah, berkabung dan juga pengumpulan abu mayat akan dibuat dan seterusnya akan diisi dalam kain kuning dan dilepaskan ke laut.



Seterusnya kita menyelongkar apa pula keunikan adat pengkebumian masyarakat iban. Masyarakat Iban tradisional akan memasukkan mayat tersebut di dalam tempayan. Namun, hasil pemodenan, berlaku dinamisme yang membawa corak perubahan dalam adat mereka. Upacara yang dilaksanakan semakin berstruktur dimana mayat akan dipakaikan dengan baju yang cantik dan bercorak, rambut pula disisir rapi. Ada juga terminologi-terminologi berkaitan adat mereka yang asing bagi kita seperti "sapat" dan pelbagai lagi. Terdapat juga upacara menabur beras sebagai simbolik agar mayat tidak terseksa diiringi dengan upacara doa yang sangat menarik. Selepas kematian seperti biasa, orang-orang tua akan berbincang mengenai upacara berkabung.

Keranda Orang Iban

Akhir sekali, masyarakat Kadazan yang bernaung di Negeri di Bawah Bayu. Masyarakat Kadazan tradisional akan menanam mayat si mati dalam sebuah tempayan yang diberi nama "Tajau". Namun, selepas mengalami proses pemodenan, ianya berubah kepada sistem adat yang lebih teratur dan sistematik. Jasad tidak akan ditanam terus, tetapi akan dibiarkan di rumah sehingga hari keempat kematian diiringi dengan upacara-upacara lain yang diberi nama-nama unik seperti "momisok", "momugus" dan "katam-katam". Selepas kematian, upacara sembahyang bakal dilaksanakan pada hari ke-40 dan ke-100 selepas tarikh kematian seiring dengan proses berkabung.
Tajau

Friday, August 20, 2010

Adat Pengurusan Kematian Masyarakat India Bahagian II

Noor Farihan Binti Halim (204251)

Mayat orang India akan diusung ke tanah perkuburan dengan menggunakan pengusung. Apabila tiba di tanah perkuburan, pengusung perlu membayar duit kepada penyelenggara sebagai upah mengorek liang lahad. Pergerakan dimulakan dengan dengan mengubah bahagaian kaki ke kubur dan kemudian bahagian kepala. Ini adalah seperti pergerakan bayi yang berada di dalam kandungan. Oleh itu si mati dipercayai berada di dalam perut Dewi Bumi. Kemudian keranda diletakkan bersebelahan dengan kubur bagi mayat yang dikebumikan atau diletakkan di atas kayu api unyuk dibakar. Duit syiling dimasukkan ke dalam dhoti dan diletakkan di antara kaki mayat, lalu diambil oleh pengurus kubur sebagai tanda keizinan mayat dikebumikan. Setelah itu upacara sembahyang dilakukan oleh semua yang berada di situ.

Pembawa Kollic catti atau buyung dikehendaki mengelilingi mayat sebanyak tiga kali menurut arah jam. Kemudian diikuti oleh pengurus mayat yang akan menebuk kollic catti dengan menyebut 'sorkam seer, kaiulaasam seer' berulang kali. pada pusingan ketiga, pembawa kollic catti berada di hadapan mayat dan duduk melutut tetapi tidak menghadap mayat. Kemudian tiga batang kayu yang menyala dibakar dan disusun ke tanah satu persatu. Upacara ini dilakukan untuk mengurangkan kesedihan keluarga si mati. Setelah mayat dikebumikan, satu bentuk manusia akan dilukis di atas kubur. Satu lubang akan dibuat di bahagian kepala dan susu akan dicurahkan pada lubang tersebut. Ada juga yang memasukkan bijirin ke lubang tersebut. Selesai upacara tersebut, semua yang hadir perlu ke rumah si mati untuk upacara penyempurnaan adat pengebumian sebelum balik ke rumah.

Selepas KematianSelepas selesai upacara pengebumian, beberapa adat seperti berikut akan dilakukan.

Membersihkan Rumah
Rumah perlu dibersihkan sebaik sahaja mayat dibawa ke kubur. Lampu minyak dinyalakan dibekas tempat pembaringan mayat dan selepas itu ahli-ahli keluarga dikehendaki mandi untuk membersihkan diri selepas upacara pengebumian dijalankan. Makanan yang terdiri daripada sayur-sayuran atau haiwan yang tidak berdarah akan dihidangkan untuk ahli-ahli keluarga si mati. Sebaldi air akan diletakkan di hadapan rumah dan lampu minyak sentiasa dinyalakan. selain itu debu suci dan garam disertakan. Kemudian ahli-ahli keluarga dikehendaki menyentuh garam dan menyapu pada dahi sebelum masuk ke dalam rumah. Air yang berada di dalam baldi digunakan untuk mencuci kaki dan selepas itu berakhirlah sudah upacara pengkebumi. Bagi mereka yang membawa kollic catti akan pulang ke rumah untuk melakukan upacara kollic catti. Pembawa kollic catti hendaklah mandi di sungai atau kolam dan kemudian barulah boleh masuk ke rumah. Ini adalah menunjukkan tamatnya upacara kollic catti.

Mengumpul Abu Mayat
Bagi mayat yang dibakar, abu mayat akan dikumpulkan keesokan harinya. Susu terlebih dahulu disiram pada abu mayat untuk menyejukkan bara api. Kemudian abu bahagian kepala dimasukkan ke dalam sebuah periuk , manakala abu yang lain dimasukkan ke dalam periuk yang berasingan. Abu yang telah dimasukkan ke dalam periuk akan disembahyangkan oleh ahli keluarga. Terdapat dua cara dalam pengurusan abu mayat di kalangan masyarakat India, iaitu samada abu mayat ditanam atau dimasukkan ke dalam kain kuning dan dilepaskan ke laut.

Berkabung
Masyarakat India seperti juga masyarakat lain akan berkabung selepas berlakunya sesebuah kematian. Tempoh mula berkabung samada lapan atau enam belas hari selepas kematian. sekiranya mereka berkabung selepas lapan hari kematian, saudara-mara dan sahabat-handai akan berkumpul di rumah si mati dengan membawa pelbagai jenis juadah tradisional termasuklah sayur-sayuran dan buah-buahan. Semua ini dibawa untuk dipersembahkan kepada si mati. Gambar atau potret si mati diletakkan di atas almari atau dinding dan kemudian dikalungkan dengan bunga yang menarik. Di sisi gambar tersebut pula dinyalakan lampu minyak dan bunga ditabur. Kemudian upacara sembahyang dimulakan dengan meminta Tuhan supaya melindungi si mati. pada masa yang sama nyanyian lagu-lagu suci dimainkan. setelah itu makanan dihidangkan kepada para tetamu.
Berkabung pada hari keenam belas pula dipanggil sebagai karumaati iaitu hari bersembahyang. Sebuah khemah yang lengkap dengan kerusi didirikan. Potret si mati dihias dengan cantik dan seorang pedanda dijemput untuk upacara sembahyang. Batu-bata diikat dengan benang dan dibalut dengan kain merah dan dimasukkan ke dalam periuk. Kemudian batu tersebut dibasahkan dengan air, susu, air kelapa muda dan air mawar. Upacara basahan batu-bata itu dinamakan sebagai kal niruttutal atau upacara mendirikan batu. Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan. Upacara sembahyang dilakukan sebanyak tiga kali. Setiap kali sembahyang, makanan dihidangkan kepada para tetamu. Sembahyang yang pertama dilakukan pada pukul sebelas malam. Sembahyang yang kedua dilakukan pada pukul dua belas malam dan yang ketiga pada awal pagi.

Hari berikutnya pedanda mengambil rumput dan membuat bentuk seperti keranda. Rumput akan dibakar dan mentera serta doa dibaca, bertujuan agar roh si mati sentiasa dalam keadaan tenang dan aman. Selesai upacara bersembahyang, pedanda akan dibayar dengan upah berbentuk wang ringgit, sayur-sayuran dan buah-buahan. Dengan ini, berakhirlah upacara karumaati.