Oleh : Ahmad Fahmi Irsyad bin Aziz Azmi (204527)
Intihannya, jika kita kaji semula dengan lebih mendalam, kita akan menyedari bahawa setiap elemen budaya yang tersirat dalam sesuatu kaum tertentu itu mempunyai kelebihan dan keunikannya yang tersendiri. Masing-masing berpegang teguh pada relativiti budaya masing-masing tanpa memikirkan permasalahan etnik yang sentiasa berlaku.
Secara keseluruhannya, adat pengkebumian bagi masyarakat Melayu menitikberatkan hukum-hukum syarak berpandukan sumber al-Quran dan as-Sunnah seratus peratus dan diadun sedikit dengan nilai-nilai budaya masyarakat Melayu yang diwarisi secara turun temurun. Satu perkara yang boleh dikira asing bagi kita dalam kalangan orang Melayu sendiri adalah pemberian kain pelikat beserta duit sebagai satu simbolik upah mendoakan si mati selepas mendirikan solat jenazah. Proses seterusnya seperti proses pemandian, kafan dan iringan ke kubur juga berlandaskan syariat Islam. Kemudian bacaan talqin dan upacara menyiram air mawar dan memacakkan kayu ke atas tanah kubur sebagai tanda pengenalan kepada saudara mara dan sahabat handai yang ingin melawat sebelum diletakkan batu nisan. Upacara bacaan Yaasin dan Tahlil pula akan dilaksanakan setiap tujuh, empat puluh dan seratus hari selepas kematian.
Proses Mengkafankan Jenazah
Bagi masyarakat Cina pula, mereka mementingkan unsur-unsur material yang dibawa dari dunia nyata untuk mereka menyambung kehidupan di alam kubur. Mayat si mati akan dipakaikan dengan pakaian dan barangan perhiasan yang cantik dan berwarna-warni, dibekalkan dengan wang kertas beserta makanan. Ratapan dan tangisan adalah perkara biasa, namun apa yang menjadikan adat masyarakat Cina ini unik, mereka akan mengupah orang ramai untuk menangisi pemergian si mati andai kata si mati tidak mempunyai hubungan kekeluargaan yang ramai. Mereka turut berpegang teguh kepada "Feng Shui" yang mana menuntut mereka mengkebumikan mayat di kawasan tanah tinggi demi generasi yang lebih baik pada masa akan datang. Sepanjang proses itu, mereka wajib memakai pakaian serba hitam.
Keranda Orang Cina
Masyarakat India pula mempercayai konsep kelahiran semula. Konsep tersebut meuntut mereka untuk turut menyelitkan unsur-unsur material ke dalam adat pengkebumian mereka sama seperti masyarakat Cina. Terdapat juga sebilangan upacara-upacara yang asing bagi telinga kita seperti kammaatchi amman vilakku dan vaikarrisi, namun, itulah yang menjadikan adat pengkebumian mereka unik dan lain dari yang lain. Selepas kematian, adat tipikal akan dilaksanakan seperti proses pembersihan rumah, berkabung dan juga pengumpulan abu mayat akan dibuat dan seterusnya akan diisi dalam kain kuning dan dilepaskan ke laut.
Seterusnya kita menyelongkar apa pula keunikan adat pengkebumian masyarakat iban. Masyarakat Iban tradisional akan memasukkan mayat tersebut di dalam tempayan. Namun, hasil pemodenan, berlaku dinamisme yang membawa corak perubahan dalam adat mereka. Upacara yang dilaksanakan semakin berstruktur dimana mayat akan dipakaikan dengan baju yang cantik dan bercorak, rambut pula disisir rapi. Ada juga terminologi-terminologi berkaitan adat mereka yang asing bagi kita seperti "sapat" dan pelbagai lagi. Terdapat juga upacara menabur beras sebagai simbolik agar mayat tidak terseksa diiringi dengan upacara doa yang sangat menarik. Selepas kematian seperti biasa, orang-orang tua akan berbincang mengenai upacara berkabung.
Keranda Orang Iban
Akhir sekali, masyarakat Kadazan yang bernaung di Negeri di Bawah Bayu. Masyarakat Kadazan tradisional akan menanam mayat si mati dalam sebuah tempayan yang diberi nama "Tajau". Namun, selepas mengalami proses pemodenan, ianya berubah kepada sistem adat yang lebih teratur dan sistematik. Jasad tidak akan ditanam terus, tetapi akan dibiarkan di rumah sehingga hari keempat kematian diiringi dengan upacara-upacara lain yang diberi nama-nama unik seperti "momisok", "momugus" dan "katam-katam". Selepas kematian, upacara sembahyang bakal dilaksanakan pada hari ke-40 dan ke-100 selepas tarikh kematian seiring dengan proses berkabung.
Tajau
No comments:
Post a Comment