Monday, August 23, 2010

Medan Konklusi

Oleh : Ahmad Fahmi Irsyad bin Aziz Azmi (204527)

Intihannya, jika kita kaji semula dengan lebih mendalam, kita akan menyedari bahawa setiap elemen budaya yang tersirat dalam sesuatu kaum tertentu itu mempunyai kelebihan dan keunikannya yang tersendiri. Masing-masing berpegang teguh pada relativiti budaya masing-masing tanpa memikirkan permasalahan etnik yang sentiasa berlaku.

Secara keseluruhannya, adat pengkebumian bagi masyarakat Melayu menitikberatkan hukum-hukum syarak berpandukan sumber al-Quran dan as-Sunnah seratus peratus dan diadun sedikit dengan nilai-nilai budaya masyarakat Melayu yang diwarisi secara turun temurun. Satu perkara yang boleh dikira asing bagi kita dalam kalangan orang Melayu sendiri adalah pemberian kain pelikat beserta duit sebagai satu simbolik upah mendoakan si mati selepas mendirikan solat jenazah. Proses seterusnya seperti proses pemandian, kafan dan iringan ke kubur juga berlandaskan syariat Islam. Kemudian bacaan talqin dan upacara menyiram air mawar dan memacakkan kayu ke atas tanah kubur sebagai tanda pengenalan kepada saudara mara dan sahabat handai yang ingin melawat sebelum diletakkan batu nisan. Upacara bacaan Yaasin dan Tahlil pula akan dilaksanakan setiap tujuh, empat puluh dan seratus hari selepas kematian.

Solat Jenazah 
                                       


Proses Mengkafankan Jenazah

 
Bagi masyarakat Cina pula, mereka mementingkan unsur-unsur material yang dibawa dari dunia nyata untuk mereka menyambung kehidupan di alam kubur. Mayat si mati akan dipakaikan dengan pakaian dan barangan perhiasan yang cantik dan berwarna-warni, dibekalkan dengan wang kertas beserta makanan. Ratapan dan tangisan adalah perkara biasa, namun apa yang menjadikan adat masyarakat Cina ini unik, mereka akan mengupah orang ramai untuk menangisi pemergian si mati andai kata si mati tidak mempunyai hubungan kekeluargaan yang ramai. Mereka turut berpegang teguh kepada "Feng Shui" yang mana menuntut mereka mengkebumikan mayat di kawasan tanah tinggi demi generasi yang lebih baik pada masa akan datang. Sepanjang proses itu, mereka wajib memakai pakaian serba hitam.
Keranda Orang Cina

Majlis Pengkebumian

                                               
Masyarakat India pula mempercayai konsep kelahiran semula. Konsep tersebut meuntut mereka untuk turut menyelitkan unsur-unsur material ke dalam adat pengkebumian mereka sama seperti masyarakat Cina. Terdapat juga sebilangan upacara-upacara yang asing bagi telinga kita seperti kammaatchi amman vilakku dan vaikarrisi, namun, itulah yang menjadikan adat pengkebumian mereka unik dan lain dari yang lain. Selepas kematian, adat tipikal akan dilaksanakan seperti proses pembersihan rumah, berkabung dan juga pengumpulan abu mayat akan dibuat dan seterusnya akan diisi dalam kain kuning dan dilepaskan ke laut.



Seterusnya kita menyelongkar apa pula keunikan adat pengkebumian masyarakat iban. Masyarakat Iban tradisional akan memasukkan mayat tersebut di dalam tempayan. Namun, hasil pemodenan, berlaku dinamisme yang membawa corak perubahan dalam adat mereka. Upacara yang dilaksanakan semakin berstruktur dimana mayat akan dipakaikan dengan baju yang cantik dan bercorak, rambut pula disisir rapi. Ada juga terminologi-terminologi berkaitan adat mereka yang asing bagi kita seperti "sapat" dan pelbagai lagi. Terdapat juga upacara menabur beras sebagai simbolik agar mayat tidak terseksa diiringi dengan upacara doa yang sangat menarik. Selepas kematian seperti biasa, orang-orang tua akan berbincang mengenai upacara berkabung.

Keranda Orang Iban

Akhir sekali, masyarakat Kadazan yang bernaung di Negeri di Bawah Bayu. Masyarakat Kadazan tradisional akan menanam mayat si mati dalam sebuah tempayan yang diberi nama "Tajau". Namun, selepas mengalami proses pemodenan, ianya berubah kepada sistem adat yang lebih teratur dan sistematik. Jasad tidak akan ditanam terus, tetapi akan dibiarkan di rumah sehingga hari keempat kematian diiringi dengan upacara-upacara lain yang diberi nama-nama unik seperti "momisok", "momugus" dan "katam-katam". Selepas kematian, upacara sembahyang bakal dilaksanakan pada hari ke-40 dan ke-100 selepas tarikh kematian seiring dengan proses berkabung.
Tajau

Friday, August 20, 2010

Adat Pengurusan Kematian Masyarakat India Bahagian II

Noor Farihan Binti Halim (204251)

Mayat orang India akan diusung ke tanah perkuburan dengan menggunakan pengusung. Apabila tiba di tanah perkuburan, pengusung perlu membayar duit kepada penyelenggara sebagai upah mengorek liang lahad. Pergerakan dimulakan dengan dengan mengubah bahagaian kaki ke kubur dan kemudian bahagian kepala. Ini adalah seperti pergerakan bayi yang berada di dalam kandungan. Oleh itu si mati dipercayai berada di dalam perut Dewi Bumi. Kemudian keranda diletakkan bersebelahan dengan kubur bagi mayat yang dikebumikan atau diletakkan di atas kayu api unyuk dibakar. Duit syiling dimasukkan ke dalam dhoti dan diletakkan di antara kaki mayat, lalu diambil oleh pengurus kubur sebagai tanda keizinan mayat dikebumikan. Setelah itu upacara sembahyang dilakukan oleh semua yang berada di situ.

Pembawa Kollic catti atau buyung dikehendaki mengelilingi mayat sebanyak tiga kali menurut arah jam. Kemudian diikuti oleh pengurus mayat yang akan menebuk kollic catti dengan menyebut 'sorkam seer, kaiulaasam seer' berulang kali. pada pusingan ketiga, pembawa kollic catti berada di hadapan mayat dan duduk melutut tetapi tidak menghadap mayat. Kemudian tiga batang kayu yang menyala dibakar dan disusun ke tanah satu persatu. Upacara ini dilakukan untuk mengurangkan kesedihan keluarga si mati. Setelah mayat dikebumikan, satu bentuk manusia akan dilukis di atas kubur. Satu lubang akan dibuat di bahagian kepala dan susu akan dicurahkan pada lubang tersebut. Ada juga yang memasukkan bijirin ke lubang tersebut. Selesai upacara tersebut, semua yang hadir perlu ke rumah si mati untuk upacara penyempurnaan adat pengebumian sebelum balik ke rumah.

Selepas KematianSelepas selesai upacara pengebumian, beberapa adat seperti berikut akan dilakukan.

Membersihkan Rumah
Rumah perlu dibersihkan sebaik sahaja mayat dibawa ke kubur. Lampu minyak dinyalakan dibekas tempat pembaringan mayat dan selepas itu ahli-ahli keluarga dikehendaki mandi untuk membersihkan diri selepas upacara pengebumian dijalankan. Makanan yang terdiri daripada sayur-sayuran atau haiwan yang tidak berdarah akan dihidangkan untuk ahli-ahli keluarga si mati. Sebaldi air akan diletakkan di hadapan rumah dan lampu minyak sentiasa dinyalakan. selain itu debu suci dan garam disertakan. Kemudian ahli-ahli keluarga dikehendaki menyentuh garam dan menyapu pada dahi sebelum masuk ke dalam rumah. Air yang berada di dalam baldi digunakan untuk mencuci kaki dan selepas itu berakhirlah sudah upacara pengkebumi. Bagi mereka yang membawa kollic catti akan pulang ke rumah untuk melakukan upacara kollic catti. Pembawa kollic catti hendaklah mandi di sungai atau kolam dan kemudian barulah boleh masuk ke rumah. Ini adalah menunjukkan tamatnya upacara kollic catti.

Mengumpul Abu Mayat
Bagi mayat yang dibakar, abu mayat akan dikumpulkan keesokan harinya. Susu terlebih dahulu disiram pada abu mayat untuk menyejukkan bara api. Kemudian abu bahagian kepala dimasukkan ke dalam sebuah periuk , manakala abu yang lain dimasukkan ke dalam periuk yang berasingan. Abu yang telah dimasukkan ke dalam periuk akan disembahyangkan oleh ahli keluarga. Terdapat dua cara dalam pengurusan abu mayat di kalangan masyarakat India, iaitu samada abu mayat ditanam atau dimasukkan ke dalam kain kuning dan dilepaskan ke laut.

Berkabung
Masyarakat India seperti juga masyarakat lain akan berkabung selepas berlakunya sesebuah kematian. Tempoh mula berkabung samada lapan atau enam belas hari selepas kematian. sekiranya mereka berkabung selepas lapan hari kematian, saudara-mara dan sahabat-handai akan berkumpul di rumah si mati dengan membawa pelbagai jenis juadah tradisional termasuklah sayur-sayuran dan buah-buahan. Semua ini dibawa untuk dipersembahkan kepada si mati. Gambar atau potret si mati diletakkan di atas almari atau dinding dan kemudian dikalungkan dengan bunga yang menarik. Di sisi gambar tersebut pula dinyalakan lampu minyak dan bunga ditabur. Kemudian upacara sembahyang dimulakan dengan meminta Tuhan supaya melindungi si mati. pada masa yang sama nyanyian lagu-lagu suci dimainkan. setelah itu makanan dihidangkan kepada para tetamu.
Berkabung pada hari keenam belas pula dipanggil sebagai karumaati iaitu hari bersembahyang. Sebuah khemah yang lengkap dengan kerusi didirikan. Potret si mati dihias dengan cantik dan seorang pedanda dijemput untuk upacara sembahyang. Batu-bata diikat dengan benang dan dibalut dengan kain merah dan dimasukkan ke dalam periuk. Kemudian batu tersebut dibasahkan dengan air, susu, air kelapa muda dan air mawar. Upacara basahan batu-bata itu dinamakan sebagai kal niruttutal atau upacara mendirikan batu. Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan. Upacara sembahyang dilakukan sebanyak tiga kali. Setiap kali sembahyang, makanan dihidangkan kepada para tetamu. Sembahyang yang pertama dilakukan pada pukul sebelas malam. Sembahyang yang kedua dilakukan pada pukul dua belas malam dan yang ketiga pada awal pagi.

Hari berikutnya pedanda mengambil rumput dan membuat bentuk seperti keranda. Rumput akan dibakar dan mentera serta doa dibaca, bertujuan agar roh si mati sentiasa dalam keadaan tenang dan aman. Selesai upacara bersembahyang, pedanda akan dibayar dengan upah berbentuk wang ringgit, sayur-sayuran dan buah-buahan. Dengan ini, berakhirlah upacara karumaati.

Thursday, August 19, 2010

Adat Pengurusan Pengkebumian Masyarakat Iban Bahagian I

Oleh : Siti Nur Auni Binti Sheikh Osman (204524)
~...KEMATIAN ITU PASTI...~

 


Masyarakat Iban menguruskan sesuatu kematian itu mengikut adat-adat tertentu. Setiap adat yang dilakukan mempunyai maksud dan tujuan yang tertentu. Secara keseluruhannya adat kematian masyarakat ini merangkumi peringkat-peringkat berikut:

Semasa kematian
Orang Iban menguruskan mayat dengan penuh kemuliaan. Apabila ada kematian, semua saudara mara dan sahabat handai menghadirinya. Perkara pertama yang dilakukan sebaik sahaja mendapati seseorang itu mati ialah merapatkan mulutnya. Ini dilakukan oleh ahli keluarganya. Kemudian mayat dimandikan, disikat dan dikenakan pakaian yang sebaik-baiknya. Kedua-dua pintu rumah panjang juga perlu digalang dengan dua batang alu. Mereka percaya, jika perkara ini tidak dilakukan, hantu si mati akan membawa pulang roh si mati. Kemudia mayat diletakkan di tengagh-tengah rumah panjang dan dilingkungi dengan pua kumbu yang dipanggil sapat.Semua barang yang mahu dibekalkan bersama-sama mayat disediakan. Barang-barang itu dianggap sebagai bekalan si mati di dunia keduanya kelak (dunia selepas mati). Mayat itu juga tidak boleh ditinggalkan bersendirian. Seterusnya, seorang wanita yang mahir ditugaskan membaca doa. Dengan doa itu, roh si mati dipercayai dapat dibawa ke syurga tanpa sebarang halangan. Doa itu akan dibaca berterusan sehinggalah mayat dibawa keluar dari rumah panjang. Sepanjang malam sebelum pengebumian dijalankan, orang tua-tua akan berbincang tentang jangkamasa berkabung dan berpantang. Apabila mayat itu dimasukkan ke dalam keranda, mayat itu disuakan makanan menggunakan pinggan. Kemudian pinggan itu dipecahkan dan dibuang ke tanah melalui celahan lantai. Mayat itu kemudiannya ditaburi beras supaya petara tidak menyiksa mayat itu. Keranda itu diperbuat daripada kayu yang baik oleh tukang mahir di kampung itu. Keranda itu biasanya dihias dengan ukiran yang mempunyai motif tradisional.

Semasa pengkebumian
Setelah kawasan kubur ditetapkan, seekor ayam dikorbankan di atasnya. Darah ayam itu dikatakan sebagai persembahan kepada sempulang gana supaya menerima mayat itu. Ketika ini kaum wanita dilarang memasuki kawasan perkuburan. Lubang kubur digali tanpa menggunakan sebarang senjata tajam. Hanya tangan dan kayu sahaja yang boleh digunakan. Biasanya lubang itu sedalam tiga kaki sahaja kerana penggali kubur tidak boleh memasuki lubang itu.Apabila sudah digali,daun atau rumput hijau dielakkan dai memasuki lubang. ini kerana masyarakat Iban percaya roh akan menganggu orang yang masih hidup. Sebuah pondok juga didirikan bagi melindungi kubur. Barang-barang milik simati akan diletakkan didalam pondok tersebut,contohnya jika simati seorang pahlawan,senjata kepunyaannya akan diletakkan di dalam pondok.


Adat Pengurusan Kematian Masyarakat Kadazan Bahagian II



Dalam masyarakat Kadazan,mereka mempercayai kepada alamat akan mati yang dipanggil mogombiruoh.

Dalam kalangan masyarakat Kadazan,antaranya ialah adat memberitahu,berjaga-jaga dan moginupus. Apabila salah seorang meninggal dunia,semua penduduk kampung akan diberitahu tentang kematian dan penduduk perlu bekerjasama supaya kesediahan tidak hanya dialami oleh keluarga si mati. Pekerjaan menanam padi amat dilarang dalam masyarakat Kadazan. 

Jika melakukan pekerjaan tersebut tidak mendatangkan hasil dan kemungkinan penyakit akan menimpa.Adat berjaga-jaga adalah mayat tersebut akan dipakaikan dengan pakaian yang indah-indah Semasa mayat diletakkan di ruang tamu,mayat akan dijaga dengan baik. Masyarakat Kadazan percaya sekiranya kucing hitam yang melangkah,mayat akan bangun dan mengamuk sehingga boleh membunuh mereka yang berada di situ.

Moginupus bermaksud simpati terhadap si mati. Ahli keluarga,saudara mara akan menangis menunjukkan sumpati terhadap si mati. Bagi keluarga yang kaya,kerbau atau lembu akan disembelih pada hari pengkebumian sebagai penghormatan yang terakhir.

Adat Pengurusan Kematian Masyarakat India Bahagian I

Nor Suriaty Binti Abdul Latif    (204531)

Bagi masyarakat India, mereka mempercayai konsep kelahiran semula, iaitu kematian adalah ibarat tidur dan mereka akan bangun selepas tidur.Sarjana India juga menyatakan kematian adalah perpisahan roh dan jasad, di mana jasad akan hancur, tetapi kembali ke alam barzakh . Dalam masyarakat India, mayat akan dibakar atau dikebumikan. Untuk melaksanakan upacara ini, pelbagai adat tertentu akan dilakukan.

Semasa Kematian


Sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia, mayat akan diletakkan di ruang tamu. Kepala mayat dihadapkan ke arah selatan dan sebuah lampu minyak atau kaamaatci amman vilakku dipasang dinyalakan. Kemudian sebiji kelapa terbelah dua dan sirih pinang diletakkan berhampiran si mati. Kemenyan dan kapur barus diasap sebagai simbol ketenangan jiwa si mati. Serbuk suci atau tiruniiru disapu pada dahi si mati sebelum disembahyang. Sepanjang mayat berada di dalam rumah, si mati perlu dijaga dengan sebaiknya. Kaki dan tangan mayat perlu diluruskan, ibu jari tangan dan kaki diikat dengan kain putih dan diletakkan ke dada. Mata dan mulut mayat juga perlu ditutup rapat. Setelah itu barulah si mati dibalut dengan menggunakan kain. kunyit disapu pada mata untuk membunuh kuman dan seterusnya duit syiling diletakkan di atas dahi. Sirih pinang ditumbuk dan dimasukkan ke dalam mulut dan lubang hidung akan disumbatkan dengan kapas. Air mawar direnjis dan mayat turut diasapkan dengan kemenyan yang dibakar supaya tidak berbau. Untuk menunjukkan kesedihan, gambar-gambar yang tergantung diterbalikkan dan barang-barang perhiasan dibawa keluar dari ruang tamu. Lagu-lagu suci seperti teevaaram, tiruvaasakam dan seumpamanya dinyanyikan serta diimainkan sehingga ke tanah perkuburan. Tujuannya agar roh si mati sentisa tenang dan aman.

Mayat akan dimandikan terlebih dahulu dan dibaringkan di atas katil di ruang tamu atau halaman rumah. Kaum lelaki yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si mati sahaja boleh membawa air dalam jumlah yang ganjil. Air tersebut diperolehi dari sungai, perigi atau sumber-sumber air yang lain, kecuali air paip. Buyung yang berisi air akan ditutup dengan menggunakan kain dhoti untuk mengelakkan habuk memasuki air tersebut. Kaum wanita pula akan menyambut air tersebut yang digunakan untuk memandikan mayat. Sebelum dimandikan, minyak dan araippu digunakan untuk disapukan pada kepala sebagai mandian terakhir. Sapuan minyak ini dilakukan oleh ahli keluarga dan diikuti oleh saudara mara terdekat. Belakang tapak tangan digunakan untuk menyapu minyak ini dan bukannya menggunakan tapak tangan sebagaimana lazimnya. Mayat seterusnya dimandikan oleh orang yang telah berumur. Selepas dimandikan, si mati akan dipakaikan dengan pakaian baru iaitu sari bagi mayat perempuan dan dhoti bagi mayat lelaki. Mayat yang sudah dibersihkan itu akan diletakkan di ruang tamu sebagai langkah menghormati tetamu.

Upacara Menanggalkan Thaali
Thaali vaangutal merupakan upacara menanggalkan thaali semasa berlakunya sesebuah kematian dalam sesebuah keluarga. Thaali iaitu rantai suci perkahwinan hanya boleh ditanggal oleh seorang isteri setelah suamiya meninggal dunia. Dalam upacara tersebut, si isteri hendaklah duduk di sebelah si mati dan dijirus dengan sebuyung air semasa mayat suaminya dimandikan. Kemudian bunga akan dikalungkan pada leher balu dan kemudian bunga tersebut dikalungkan pada si mati. seterusnya seorang wanita yang sudah berusia dan mempunyai hubungan kekeluargaan akan memegang tangan si mati sambil mengalungkan kalungan bunga ke leher balu dan proses ini dilakukan sebanyak tiga kali. Balu tersebut dikehendaki meletakkan kalungan bunga ke dalam dulang yang berisi minyak, bunga dan susu yang dibawa oleh seorang perempuan lain. Ini dilakukan seolah-olah menunjukkan si suami membuangkan thaali dari leher balu. Thaali itu seterusnya akan dimasukkan ke dalam dulang dan disimpan dalam rumah.

Upacara Vaaikkarisi
Setelah dimandi dan dihias dengan cantik, mayat akan dimasukkan ke dalam keranda. Kapur barus dimasukkan bersama supaya mayat tidak berbau. Kemudian ke dalam mulut mayat akan dimasukkan sedikit makanan sebagai menandakan pemberian terakhir dan inilah yang dinamakan vaaikkarisi. Makanan yang akan dimasukkan ke dalam mulut mayat berupa beras yang diletakkan di dalam sebuah dulang dan diletakkan berhampiran kepala mayat. Sebelum dimasukkan ke dalam mulut mayat, beras akan diarak dari kiri ke kanan. Duit syiling yang diletakkan di dalam dulang yang sama dibalut dengan kain putih. Ini dilakukan oleh kaum perempuan sahaja. Upacara vaaikkarisi akan dilakukan oleh kaum lelaki di tanah perkuburan pula, justeru itu kaum perempuan amat dilarang turut serta ke tanah perkuburan. Sekiranya si mati mempunyai cucu atau cicit, mereka dikehendaki memegang neippantam. Neip bermaksud minyak sapi dan pantam adalah obor. Beberapa batang kayu kecil akan dibalut di bahagian hujung dengan menggunakan kain yang disapu dengan minyak sapi dan dinyalakan. Cucu atau cicit tersebut dikehendaki mengelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak tiga kali. Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan. Saudara mara yang terdekat akan memberi sari atau dhoti kepada si mati sebagai hadiah terakhir. Keranda akan ditutup dan diangkat untuk dibawa ke tanah perkuburan, pada masa yang sama ucapan tenna adudaiya shinanee pottri disebut beberapa kali sebagai menandakan upacara tersebut telah direstui oleh tuhan. Ahli-ahli keluarga akan mengelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak tiga kali sebagai tanda penghormatan.


Kollic Catti
Kollic catti bermaksud periuk tanah liat yang mengandungi api. Periuk tersebut diangkat dengan menggunakan pelepah kelapa yang dibelah tiga di bahagian hujung dan diikat pada periuk. Kollic catti dibawa oleh ahli keluarga si mati samada anak ataupun bapa. Anak sulung melakukan untuk bapa yang telah meninggal dunia dan anak bongsu untuk ibu. Seseorang yang membawa kollic catti mengiringi mayat. Sebelum itu pembawa kollic catti dikehendaki mencukur rambut. Ini menunjukkan bahawa mereka akan hidup lebih bahagia seperti rambut yang baru tumbuh. Ada juga yang mencukur janggut atau misai sebagai menggantikan rambut. Pada masa yang sama sebuah nyiru diisikan dengan bahan-bahan seperti padi goreng, biji sawi dan bijan. Sepanjang perjalanan, bahan-bahan tersebut ditabur dan setiap bahan-bahan tadi mempunyai perlambangan yang tersendiri. 


Wednesday, August 18, 2010

Adat Pengurusan Kematian Masyarakat Iban Bahagian II

Oleh:- TUN NABILAH BINTI MOHD ROSLAN (204535)




Masyarakat Iban menguruskan sesuatu kematian itu mengikut adat-adat tertentu. Setiap adat yang dilakukan mempunyai maksud dan tujuan yang tertentu. Secara keseluruhannya adat kematian masyarakat ini merangkumi pelbagai peringkat:

Mayat Dalam Tempayan


1.   Semasa kematian

Orang Iban menguruskan mayat dengan penuh kemuliaan. Apabila ada kematian, semua saudara mara dan sahabat handai menghadirinya.

    Perkara pertama yang dilakukan sebaik sahaja mendapati seseorang itu mati ialah merapatkan mulutnya. Ini dilakukan oleh ahli keluarganya. Kemudian mayat dimandikan, disikat dan dikenakan pakaian yang sebaik-baiknya. 



      Kedua-dua pintu rumah panjang juga perlu digalang dengan dua batang alu. Mereka percaya, jika perkara ini tidak dilakukan, hantu si mati akan membawa pulang roh si mati. Kemudia mayat diletakkan di tengagh-tengah rumah panjang dan dilingkungi dengan pua kumbu yang dipanggil sapat.

Semua barang yang mahu dibekalkan bersama-sama mayat disediakan. Barang-barang itu dianggap sebagai bekalan si mati di dunia keduanya kelak (dunia selepas mati). Mayat itu juga tidak boleh ditinggalkan bersendirian. 

     Seterusnya, seorang wanita yang mahir ditugaskan membaca doa. Dengan doa itu, roh si mati dipercayai dapat dibawa ke syurga tanpa sebarang halangan. Doa itu akan dibaca berterusan sehinggalah mayat dibawa keluar dari rumah panjang.

     Sepanjang malam sebelum pengebumian dijalankan, orang-orang tua akan berbincang tentang jangka masa berkabung dan berpantang. 
Apabila mayat itu dimasukkan ke dalam keranda, mayat itu disuakan makanan menggunakan pinggan. Kemudian pinggan itu dipecahkan dan dibuang ke tanah melalui celahan lantai. 

      Mayat itu kemudiannya ditaburi beras supaya petara tidak menyiksa mayat itu. 
   
    Keranda itu diperbuat daripada kayu yang baik oleh tukang mahir di kampung itu. Keranda itu biasanya dihias dengan ukiran yang mempunyai motif tradisional.

Keranda Orang Iban.



Monday, August 16, 2010

Adat Pengurusan Kematian Kaum Kadazan Bahagian 1

Eu Sue Synn ( 207219 )



Upacara Pengebumian Masa Lampau

Pada zaman dahulu, mayat ditanam di dalam tajau yang besar dan sebahagian besar tajau tersebut diukir dengan cantik. Cara ini adalah untuk membiarkan jasad dan roh si mati bersemati dengan tenang di alam barzarkh.


Tajau





























Upacara Pengebumian Masa Moden

Keluarga si mati akan berkabung selama 7 hari bermula dari saat pertama si mati menghembuskan nafasnya. Berikut merupakan kronologi Hari Berkabung bagi keluarga si mati:



  • Hari pertama~ hari ke-3 : Mayat masih disimpan di dalam keranda dalam rumah.


  • Hari ke-3@ hari ke-4 : Jasad disemadikan dalam tanah.

  • Hari ke-6 : Upacara " Momisok "


  • Hari ke-7 : Upacara " Mogukus "
Sepanjang 7 hari tersebut, permainan katam-katam akan dimainkan.


  • Hari ke-40   : Upacara sembayang.


  • Hari ke-100 : Upacara sembayang.
Penerangan


  1. Upacara Momisok : Roh si mati akan dipanggil untuk berjumpa ahli keluarga. 


  2. Upacara Mogukus : Membakar barangan milik si mati agardapat digunakan pada alam kematiannya. Keluarga si mati akan memakai perca kain yang berwarna biru, kuning, dan warna-warna lain dan kesemua perca kain akan dibakar bersama dengan barangan si mati semasa upacara ini.


  3. Permainan katam-katam : Permainan yang memberi keuntungan ( berunsurkan perjudian ) kepada pengunjung atau saudara-mara yang datang ke rumah si mati.


Perca kain yang berwarna- warni.

Adat Pengurusan Kematian Masyarakat Cina Bahagian II

Yeo Hui Jun  (207164)

~Kematian itu Pasti Datang~

Keranda akan diangkut oleh lori khas yang dihias dengan bunga ke kawasan perkuburan.Dalam sepanjang perjalanan,kertas yang disalut logam akan dicampak. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina cara ini adalah untuk memastikan roh boleh berjalan pulang ke rumah berpandukan kertas tersebut.

 Keranda akan dimasukkan ke dalam liang lahad yang sedia digali.Bagi masyarakat Cina yang moden,hanya kertas bercop bentuk duit akan dimasukkan ke dalam liang lahad.

Bagi masyarakat Cina,kawasan perkuburan yang strategik memainkan peranan penting berdasarkan fengshui. Kawasan perkuburan yang terletak di kawasan yang tinggi adalah lebih baik kerana mengikut kepercayaan masyarakat Cina, kawasan seperti itu akan membawa tuah baik kepada generasi seterusnya.

Selain itu,batu jirat akan diukir dengan cantik. 
Ukiran ini melambangkan kekayaan si
 mati ketika hidup. Ini bermakna si mati boleh terus menikmati kemewahan selepas mati.
 Selepas upacara pengebumian ditamatkan,ahli keluarga akan menjalani upacara  
 berkabung dan hanya baju hitam atau putih boleh dipakai sehinggalah hari perkabungan tamat. 
Pakaian berwarna dianggap tidak menghormati upacara berkabung. Bagaimanapun bagi isteri yang kematian suami atau suami yang kematian isteri akan memakai baju tersebut lebih lama sebagai berkabung.

Sunday, August 15, 2010

Adat Pengurusan Kematian Masyarakat Cina Bahagian I

 Zamrey bin Badaruzaman (204510)

  "...kematian adalah sesuatu yang pasti..."

Apabila berlaku kematian, mayat akan dibersihkan dan dimandikan sebagai penghormatan terakhir kepada si mati. Setelah dimandikan mayat akan disapukan dengan minyak wangi. Si mati juga akan dipakaikan dengan pakaian yang cantik serta barang-barang perhiasan seperti gelang dan rantai.

Kaum keluarga serta sahabat handai dikehendaki meratapi pemergian si mati seperti menangis semasa penghormatan terakhir atau di kawasan pekuburan selain itu ia harus di selit dengan kata-kata pujian kepada si mati. Jika mereka mempunyai ahli keluarga yang sedikit maka mereka harus mengupah untuk menangisi si mati. Ianya akan menggambarkan kesediahan ahli keluarga dan sahabat terhadap si mati.

                                                                                   

Si mati akan dibawa jirat atau kubur untuk dikebumikan dengan menaiki van khas serta perarakan dari ahli keluarga dan sahabat. Semasa perarakan tersebut lagu-lagu berunsur agama akan dimainkan sebagai tanda menghormati si mati sepanjang perjalanan ke kawasan pekuburan.                                                            

                           
Lazimnya  ahli keluarga wajib memakai pakaian bewarna hitam dan dilarang sama sekali memakai pakaian bewarna merah serta bercorak bunga kerana ia umpama mempersenda si mati serta ahli keluarganya.      


Adat Pengurusan Kematian Masyarakat Melayu Bahagian II

 Lee Yun Hui  (207186)


Upacara Pengebumian Masyarakat Melayu

Selesai sembahyang mayat, biasanya diedarkan sedekah berupa wang atau benda contohnya seperti kain pelekat kepada mereka yang telah menyembahyangkan mayat itu. Mayat dengan kerandanya itu dimasukkan ke dalam kubur yang disedia. Sebelum ditimbus kubur itu, siak masjid atau sesiapa akan turun ke dalam kubur membuka papan tutup keranda itu dan mengerengkan mayat itu serta membukakan ikatan di kepala.

Mengusung Keranda Ke Tanah Perkuburan




Selesai kubur itu ditimbus, dipacakkan sebatang ranting pohon sebagai tanda untuk memacakkan batu nesan pada kemudian hari.

Batu Nesan



Seterusnya upacara membaca talkin dan menbaca doa kepada si mati akan dijalankan oleh tuan haji, lebai atau tuan alim. Selepas talkin dan doa habis dibaca, air akan disiram di atas kubur si mati dari bahagian kepala sampai ke bahagian kaki sehingga habis. Kemudian bunga rampai pula ditabur .
                                                 
Keranda dan Mayat dalam Liang Lahad



Selepas Kematian 

Kenduri arwah dan doa selamat akan diadakan oleh keluarga si mati selepas jenazah selamat dikebumikan. Ia diadakan pada hari pertama, ketiga, ketujuh, keempat puluh empat atau keseratus hari. Tujuannya adalah untuk mendoakan kesejahteraan si mati yang berada di alam barzakh.







 

Friday, August 13, 2010

Adat Pengurusan Kematian Masyarakat Melayu Bahagian I

Ahmad Fahmi Irsyad bin Aziz Azmi (204527)

"Setiap Yang Hidup Pasti Merasakan Mati"

Bagi kebanyakan masyarakat Melayu, wajib bagi mereka menuruti kaedah pengkebumian berasaskan garis panduan al-Quran dan as-Sunnah dan diselitkan dengan sedikit adat-adat kemelayuan.

Pertamanya, keluarga si mati akan menghebahkan kematian kepada imam atau siak yang berada di masjid seterusnya masyarakat sekitar. Hal ini bertujuan mendapatkan pertolongan daripada orang yang lebih arif untuk menguruskan jenazah si mati. Kemudian, mayat akan dibersihkan melalui upacara mandi wajib (kecuali mati syahid) . 

Proses memandikan jenazah hanya akan dilaksanakan oleh kaum sejantina si mati. Ianya meliputi membersihkan seluruh bahagian badan si mati menggunakan kapur barus dan mengeluarkan sisa-sisa perkumuhan dari tubuhnya.


kapur barus

Ini kerana ianya sejajar dengan tuntutan agama yang menyatakan bahawa si mati perlu bertemu dengan tuhannya (Allah S.W.T) dalam keadaan bersih.

Selesai memandikan mayat, jenazah akan dikafankan. Kafan disini mendukung maksud membalut badan jenazah dengan aturan tertentu. Proses mengafankan melibatkan penggunaan kain putih yang mencukupi beserta dengan tali, juga berwarna putih untuk mengikat seterusnya mengukuhkan lagi balutan kain kafan tersebut.



proses mengkafankan jenazah




jenazah selepas selesai dikafankan

Sesudah jenazah dikafankan, jenazah akan dimasukkan ke dalam keranda yang diliputi kain bertulisan ayat-ayat suci al-Quran. Jenazah kemudiannya dibawa ke masjid atau surau berhampiran untuk disolatkan. 

 
jenazah disolatkan

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang upacara pengurusan kematian masyarakat melayu, ianya akan disambung ke bahagian II.



                                                                                   




Tuesday, August 10, 2010

Untaian Pengenalan

Oleh : Ahmad Fahmi Irsyad bin Aziz Azmi (204527)

Universiti Pilihan Utama
Salam Apresiasi,
Kami kulawangsa Bahasa Melayu Pengurusan kumpulan 31 telah ditugaskan oleh pensyarah kami, Puan Suhaila Che' Pa untuk merekacipta sebuah laman blog. Tajuk yang dipilh oleh kami adalah "Adat Pengkebumian Kaum-kaum Utama di Malaysia" dibawah lembayung tema "Budaya".

Isi-isi yang bakal diketengahkan dalam laman blog ini adalah berkaitan dengan seribu satu pengetahuan tentang adat-adat pengkebumian kaum Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan yang mana pada hemah kami, perkara ini wajar dikongsi demi meningkatkan lagi tahap ilmu para pelajar. Setiap adat bagi sesebuah kaum itu akan dibahagi kepada dua iaitu Bahagian I dan Bahagian II.

Kumpulan kami terdiri daripada sepuluh orang ahli dan diketuai oleh saudara Ahmad Fahmi Irsyad bin Aziz Azmi. Ahli kumpulan yang lain pula terdiri daripada :

~Zamrey Badaruzaman   (204510)
~Tun Nabilah Mohd Roslan   (204535)
~Noor Farihan Halim   (204251)
~Nor Suriaty Abdul Latif   (204531)
~Siti Nur Auni Sheikh Osman   (204524)
~Eu Sue Synn   (207219)
~Lee Yun Hui   (207186)
~Yeo Hui Jun   (207164)
~Lim Yan San   (207171)

Akhir tinta, diharap para pelajar dapat menyelongkar seribu satu manfaat dalam blog ini dan ilmu tersebut dapat dicambah kepada orang lain.

Salam Kemelayuan~